Aisyah Zahraa | Office with Mama ii

Yeay...Seronok Tolong Mama...
Artikel dari Pa&Ma

Mendidik anak-anak melakukan aktiviti mengemas dan membersihkan rumah adalah satu didikan awal amalan kebersihan di rumah. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebung. Asuhan seawal usia lima hingga enam tahun boleh dimulakan di rumah.  
Mengajak anak-anak turut serta dalam kerja-kerja rumah memberikan banyak faedah. Selain dari menjadikan mereka berdikari, ia juga memupuk rasa bertanggungjawab dan merupakan latihan awal mereka tentang tugas-tugas berkaitan kebersihan di kediaman. Selama ini mereka hanya melihat sahaja kelakuan orang dewasa dan sesekali meniru aksi orang yang rapat dengan mereka seperti ibu bapa dan adik-beradik membuat kerja rumah ketika bermain. Kini tiba masanya untuk mereka mencubanya sendiri.
Merujuk buku Mrs Clean Jeans Housekeeping for Kids, karya Tara Aronson, terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan bagi menggalakkan anak-anak melakukan tugas-tugas mengemas sesuai dengan usia mereka.
10 cara libatkan anak-anak:
1-Senaraikan tugasan
Ajak si manja anda berbincang ceritakan kepadanya tentang tugas-tugas yang perlu kita lakukan bersama dalam kediaman. Gunakan ayat yang paling mudah difahaminya. Terangkan padanya sudah tiba masanya untuk dia membantu ibu bapa melunaskan tugas di kediaman. Pasti si kecil akan teruja untuk melakukan kerja-kerja orang dewasa kerana pada peringkat umur ini mereka gemar berlagak dewasa.
2-Beri dia kebebasan
Kebebasan dapat menyerlahkan kreativiti seseorang termasuklah kanak-kanak! Biarkan si kecil anda memilih tugas yang disukainya. Elakkan daripada memaksa dan biar dia melakukan dengan rela hati. Kekerapan sekali seminggu atau empat kali sebulan pastinya tidak membebankan. Penerangan anda amat penting supaya anak anda memahami tugas yang perlu dilunaskan olehnya.
3-Tetapkan masa
Anda perlu menetapkan masa yang sesuai untuk pelaksanaan tugasnya. Oleh sebab anak anda masih tidak mengetahui masa, anda perlu Ingatkan si manja anda apabila tiba masanya untuk dia melipat pakaian atau mengemas mainan dan meja tulisnya.  Tidak mustahil lama-kelamaan hal tersebut akan menjadi rutinnya tanpa perlu diingatkan berulang kali!
4-Berikan tempoh masa yang sesuai
Tugas ini memerlukan komitmen bersama. Ibu bapa perlu berikan tempoh yang sesuai dan memastikan perlaksanaan tugas-tugas membersihkan dan mengemas ini tidak mengganggu jadual harian si manja. Jangan pula ponteng aktiviti mingguan mereka seperti kelas berenang atau kelas seni mempertahankan diri dek kerana kerja rumah yang perlu disiapkan.
5-Berikan panduan dan penerangan secara praktikal
Awas ibu bapa semua! Berikan kepada anak-anak secukupnya sebelum membiarkan mereka melakukan sendiri tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan ini agar matlamat mendapatkan kediaman bersih dan kemas tercapai. Pada peringkat usia ini, anak anda sudah   boleh memahami langkah-langkah mudah.
6-Jadikan ia satu bentuk mainan
Ciptakan suasana yang menyeronokkan dengan nyanyian dan lagu. Pasang muzik kegemaran sepanjang pelaksanaan aktiviti membersihkan ini agar si kecil anda tidak bosan dan kekal cergas.
7-Ganjaran, motivasi dan upah
Pujilah Si manja anda apabila dia berjaya melakukan tugas-tugasnya. Sekali skala anda boleh menyuntik motivasi kepada anak-anak dengan memberikan ganjaran atau upah yang bukan berbentuk wang seperti buku, tiket menonton wayang atau hidangan makan tengah hari kegemaran mereka.
8- Lakukan aktiviti secara berkumpulan
Bagi menimbulkan keseronokan, laksanakan kerja rumah dalam kumpulan. Misalnya gabungkan si manja dengan kakaknya yang berusia 10 tahun untuk mengemas bilik tidur yang dikongsi mereka.  Pada usia lima dan enam tahun anak-anak sudah faham erti kerja sama dan bantu-membantu. Anda juga boleh turut serta. Aktiviti ini akan lebih menyeronokkan dan merapatkan hubungan  kekeluargaan.
9- Jumlah tugas
Berapa pula tugas yang mampu dilaksanakannya dalam sehari? Gunakan formula ini untuk menentukannya. Formulanya ialah: 
  • Umur dibahagikan dengan 2=jumlah tugas yang mampu dilaksanakan sehari mengikut umur
  •  Sebagai contoh bagi anak berusia lima tahun, maka boleh  dipertanggungjawabkan dua  hingga tiga tugasan seperti membantu  anda melipat pakaian bersih, mengemas mainan dan menyiram pokok dalam tempoh yang ditetapkan.
 10-Hadkan penggunaan gajet berbahaya
Penggunaan peralatan yang tajam seperti gunting dan pisau juga perlu dielakkan pada usia ini. Jika perlu menggunakan peralatan seperti penyiram pokok atau penyapu, anda boleh melatih mereka terlebih dahulu teknik penggunaan yang betul. Penerangan dan demo menerusi langkah demi langkah oleh anda untuk mengelakkan kecederaan yang tidak diingini.


Gambar sekadar hiasan..



Aisyah suka dapat tolong mama..biar Aisyah buat !!